PENGALAMAN EKSPEDISI KAYAK PULAU MELAKA,KELANTAN

Bismillahirahmanirahim.

Entry kali ini, aku ingin berkongsi pengalaman ekspedisi kayak pada 17 0gos 2017 di Sungai Pengkalan Datu, Pulau Melaka Min House Camp, Kg.Pulau Kota Bharu, Kelantan bagi Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-60 ketika di tingkatan enam. Mula-mulanya aku berasa agak takut untuk menyertai aktiviti kayak kerana ini adalah pertama kalinya aku menyertai aktiviti lasak dalam hidup. Program ini telah disertai oleh semua pelajar Pra Universiti Atas dan 8 orang guru PRAU SMK.Kangkong.

Kami telah bertolak dari sekolah ke Pulau Melaka pada pukul 7 pagi dan sampai disana pada pukul 8.30 pagi. Setelah sampai disana,aku semakin berdebar ketakutan tapi dalam masa yang sama juga berasa tidak sabar untuk berkayak. Sampainya kami disana, kami dilayan dengan begitu baik sekali. Sebelum memulakan aktiviti kayak itu, kami disediakan sarapan terlebih dahulu. Setelah semua selesai bersarapan kami diberi penerangan keselamatan dan asas dayungan kayak yang dibuat oleh presiden Persatuan Kenu Kelantan (PKK) iaitu Encik Johary Idris atau terkenal dengan panggilan ‘Cikgu Jo’ kerana beliau adalah merupakan seorang pesara guru pendidikan jasmani yang minat dengan sukan air dan aktif berkongsi minatnya bersama dengan generasi muda.




beting pasir untuk sesi water confident

Setelah selesai taklimat oleh Cikgu Jo, kami semua di minta untuk mengambil kayak masing-masing untuk memulakan aktiviti tersebut. Rasa takut menjadi hilang setelah dapat keyakinan daripada Cikgu Jo melalui taklimatnya itu tadi. Kami telah dibawa ke beberapa tempat, pada mulanya kami berhenti di beting pasir bagi sesi water confident dan dilepaskan satu persatu untuk ke tempat yang seterusnya. Sepanjang perjalanan aktiviti kayak itu, kelihatan deretan pokok nipah yang menghijau bersama kicauan burung sesekali menerjah suasana selain pemandangan rumah-rumah kampung yang masih tersergam mewujudkan landskap indah. Secara jujurnya, mungkin tidak seindah pemandangan sepanjang sungai terkenal lain, namun keadaannya yang belum tercemar teruk memberi bonus kepada peminat untuk merasai ketenangan apabila berada di tengah sungai.


Min House Camp


Tempat penternakan kelulut

Seterusnya, kami telah dibawa ke Min House Camp untuk berhenti makan dan solat zohor. Selepas itu, kami dibawa ke tempat penternakan kelulut di Min House Camp. Di sini kami dapat merasa sendiri madu kelulut yang dihasilkan daripada batang kayu itu. Kami dapat merasa madu kelulut yang segar tanpa ada campuran. Selain itu, kami juga diberi penerangan serba sedikit tentang madu kelulut oleh Encik Hishamudin Ghazali. Setelah pergi ke semua tempat kami segera bergerak untuk balik ke tempat bermula tadi.

Aku dapat merasai pengalaman yang sangat menakjubkan dan penuh dengan cabaran ekstrim yang pasti tidak dapat aku lupakan ketika mengharungi sungai yang 1001 rintangan dan halangan. Program seperti ini dapat membentuk sahsiah peribadi diri kita supaya lebih matang dan berdikari. Walaupun penat, sakit bahu, sakit badan dan stress untuk kawal kayak tersebut sehingga kadang-kadang mental hampir koyak namun dihati kecil kami, ianya pengalaman yang sangat hebat untuk menjadikan kami manusia yang hebat dan tidak sekali-kali berputus asa, sangat menakjubkan, rasa sangat bersyukur dan kami rasainya sendiri ketenangan sambil ucapkan Maha Suci Allah dengan melihat sendiri kehebatan ciptaanNya.

Comments

Popular posts from this blog

OBESITI ATAU MASALAH KEGEMUKAN

SAJAK WAKTU