GEJALA BULI
Gejala buli boleh dikatakan semakin meningkat dalam
kalangan anak-anak remaja pada masa ini. Gejala buli adalah termasuk dalam
kegiatan memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang kepada mangsanya. Kes ini telah menimbulkan
kebimbangan yang sangat besar oleh ramai pihak antaranya pihak sekolah, pihak
ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Pelbagai faktor yang yang
menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.
Pada pendapat saya, antara faktor yang mendorong
masalah gejala buli ini ialah faktor kegagalan ibu bapa dalam mendidik
anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa pada hari ini
hanya mementingkan urusan dunia semata-mata untuk mengejar kekayaan sehingga
mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak sehingga anak-anak terasa
diabaikan oleh orang tua mereka. Oleh sebab itu, mereka menganggap bahawa ibu
bapa mereka tidak peduli tentang apa yang mereka lakukan sehingga sanggup
melakukan buli ini terhadap orang yang lemah. Anak-anak sewajarnya diberi kasih
sayang dan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak agar mereka tidak
terasa disisih dan diabai oleh orang tua mereka.
Selain itu, gejala buli ini juga berlaku disebabkan
oleh pengaruh rakan sebaya. Rakan sebaya adalah pengaruh yang sangat besar
kepada remaja pada hari ini terjebak
dengan aktiviti yang tidak berfaedah
ini. Hal ini kerana remaja mudah terikut-ikut dengan perangai dan tindakan
rakan-rakan mereka. Mereka juga mungkin melakukan tindakan sebegitu kerana di
cabar oleh rakan-rakan mereka dan juga
dijadikan syarat untuk masuk dalam kumpulan rakan tersebut. Oleh kerana tidak
mahu diejek oleh rakan, mereka terus menyahut cabaran itu sehingga menyebabkan
mereka sanggup melakukan apa sahaja yang di suruh oleh rakan-rakan mereka tanpa
ada rasa bersalah dan belas kasihan.
Pengaruh media massa juga merupakan faktor yang
mendorong anak-anak remaja hari ini terjebak dengan gejala sosial. Media massa
kini menjadi pemangkin kepada budaya negatif
ini. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak genre filem dan drama yang
diterbitkan di televisyen memaparkan budaya barat dan menyiarkan filem-filem
yang berunsurkan aksi-aksi ganas. Secara tidak langsung remaja terikut dengan
aksi-aksi yang ditayangkan di kaca televisyen. Mereka terdorong dengan perasaan
ingin mencuba sehingga tidak memikirkan akibat yang akan timbul daripada
perbuatan mereka itu.
Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang
mendorong anak-anak terjebak dengan gejala buli pada hari ini. Oleh itu, kita
sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menangani masalah ini haruslah sama-sama
berganding bahu dalam mencegah gejala ini daripada terus berlaku. Usaha membanteras gejala buli perlu ditangani dengan
segara bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan sekaligus menjamin
kesejahteraan negara.
Comments
Post a Comment